Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Thursday, December 4, 2008

cinta anta dan anti....

Cinta Anta dan Anti
oleh Ustaz Maszlee Malik (Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat: ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" seriang dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun 70'an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru


download dari kahfi8