Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Wednesday, May 20, 2009

SESEORANG

Tadi semasa usrah, umi bangkitkan kisah seorang ukhti. Ukhti ini memang amat hebat amal islaminya. Umurnya 26. Tidak ada insan yang mahu berbaitul muslim dengannya hanya kerana dia kurang jelita.


Entahlah. Saat itu ringan sahaja mulut saya untuk bertanya, “Salah ke umi kalau tidak kahwin?” Tapi saya tidak punya kekuatan saat itu untuk bertanyakan soalan tersebut. Saya kira soalan tersebut akan mengundang diskusi yang lebih kontroversi.


Sejujurnya saya rasa kasihan dengan ukhti tersebut. Saya kongsikan kisah sendiri terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan kisah ini.


Saya ingat lagi hari saya mengetahui keputusan ujian ultrasound saya. Hari di mana saya mengetahui diagnosis penyakit sendiri. Saat itu, saya menangis. Bukan mudah untuk menerima kerana saya merupakan pelajar perubatan dan mengetahui hakikat penyakit tersebut. Setelah menangis buat seketika, saya teringatkan kisah Hafsah Ibn Sirin yang pernah saya baca. Saya berjanji pada Allah mahu menjadi seperti Hafsah Ibn Sirin. Saya mengingati hari tersebut kerana pada hari yang sama, saya memperolehi pinjaman pelajaran bagi meneruskan pengajian saya.


Hafsah Ibnu Sirin merupakan saudara kepada Muhammad Ibnu Sirin, seorang ulama’ terkenal terutamanya dalam cabang ilmu mentafsir mimpi. Hafisah merupakan seorang yang tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya. Hafisah, pada awal-awalnya semasa belum dikenali bertanyakan soalan yang sangat mencabar kepada seorang imam. Soalannya berkenaan dengan status jualannya. Hafsah selalu menggunakan lilin untuk menjahit baju. Satu hari, lilin beliau habis. Dalam gelap gelita itu, tiba-tiba pengawal daripada istana khalifah melintas dihadapan rumahnya, dan ada cahaya suluhan lampu terpasuk ke dalam rumah beliau. Dalam split second tersebut, Hafisah menggunakan cahaya daripada lampu tersebut untuk memasukkan benang ke dalam jarumnya untuk dia menyambung jahitannya. Dia merasa tidak senang hati dengan tindakannya mengambil cahaya yang asalnya daripada istana khalifah yang diragui asal halal haramnya. Maka dia bertanyakan kepada imam tersebut samada halal atau haramnya hasil daripada jahitan tersebut.


Imam terpegun dengan kebijaksanaan dan ketawadhukan wanita ini dan setelah habis mengajar, dia bertanyakan kepada pambantunya siapakah wanita itu. Pembantu imam mengikut daripada jauh wanita tersebut dan mendapatinya daripada rumah keluarga Ibnu Sirin, maka mereka mengetahui memang keluarga Ibnu Sirin terkenal dengan ahli-ahli yang berilmu dan tawadhu’ dan semenjak daripada itu ramai mula mempelajari daripadanya.


Hafisah, adalah seorang yang sangat disegani dan disanjung tinggi dan dianggap sebagai seorang ahli agama yang terhebat di zamannya (ketika ditanya kepada Ibnu Assakir-ulama biodata hadith dan Iyaz), zaman dimana terdapat Muhammad Ibnu Sirin, Hassan Al Basri dan lainnya. Muhammad Ibnu Sirin sering menyuruh orang-orang yang bertanyakan soalan yang tidak dapat dijawabnya supaya bertanyakan kepada Hafisah. Hafisah mengaji setengah daripada alQuran dalam satu malam, dan menggali kubur sendiri di dalam rumah beliau. Kadang kala beliau tidur di dalam kubur itu dan sangat kuat solat dan menangis. Hafisah seorang tabien; beliau sempat belajar daripada Saiyyadatina Aisyah ra, dan seperti yang disebutkan, tidak berkahwin.


Entahlah, usahlah percaya kata buruk masyarakat bahawa setiap wanita yang tidak mempunyai jodoh itu wanita jahat kerana Hafisah menggunakan kelebihannya untuk menuntut ilmu, beramal dan beribadat. Dia tidak menggunakan itu sebagai alasan untuk beliau lemah dan merasakan dirinya kurang. Beliau banyak menyumbang kepada masyarakat dalam banyak perkara-perkara kebaikan. Hidup berseorangan bukan penghalang, dan beliau sebenarnya pun bukan berseorangan, Allah bersamanya.


Entri ini bukan bertujuan mempromosikan seorang wanita untuk tidak berkahwin. Tapi bertujuan untuk merenungi sejenak realiti. Bukan senang mahu mencari seorang lelaki beriman dan baik amal dakwahnya yang mahu berkahwin dengan insan yang serba kekurangan. Bukan mudah kerana lelaki tersebut tetap lelaki. Saya sendiri pernah bertanya pada adik lelaki mengenai calon isteri pilihannya, “Kalau dia hebat amal dakwahnya tapi tidak jelita, bagaimana?” Dia membalas soalan saya dengan mengatakan bahawa dia mahu mencari seorang wanita yang memiliki pakej lengkap terlebih dahulu. Bukan semua lelaki seperti itu? Mahu yang cute-cute. Mahu yang comel-comel. Mahu yang jelita. Kerana mereka tetap lelaki walau iman setinggi langit.


Dan kalau mahu difikirkan mengenai realiti lagi, lelaki lebih sedikit bilangannya dari perempuan. Apatah lagi lelaki beriman. Adakah seorang wanita akan mempromosikan dirinya kerana semua ini? Oh tidak….


Kalau memang telah bertemu dengan lelaki yang baik amal dakwahnya dan lelaki tersebut sudi menerima kamu seadanya, berkahwinlah. Tapi kalau tidak jumpa, redhalah. Banyak lagi kerja yang menanti dari mahu memikirkan mengenai lelaki.


Entahlah, silapnya apabila segalanya mahu dilihat dari kaca masyarakat, bukan dari kaca mata Islam. Mengapa meragui bahawa Islam adalah jawapan kepada segala permasalahan?


Berkenaan dengan kemandulan juga, Islam punya jawapan. Isteri-isteri Rasulullah SAW seperti Saudah, Aisyah, Zaynab, Juwairiyya, Rayhana, Safiyya, dan Maimunah tidak memiliki cahaya mata. Mereka adalah Ummul Mukminin. Kita mengambil Rasulullah SAW sebagai suri tauladan, lantas mengapa kita mahu menilai seorang wanita hanya kerana kemampuannya melahirkan cahaya mata? Rasulullah SAW tetap menyayangi mereka kerana ukuran seorang Muslimah yang solehah itu lain dari kaca mata Islam. Islam tidak menilai seorang wanita dari segi statusnya sama ada dia berkahwin ataupun tidak. Islam juga tidak pernah menghukum wanita yang tidak mampu melahirkan cahaya mata. Persepsi moden hari ini telah membunuh persepsi Islam.


Saya juga tidak suka seandainya pasangan yang telah berkahwin asyik memprovokasi insan yang belum berkahwin di kalangan mereka. Hellooo…Bukan suka-suka orang tidak mahu kahwin.


Ada yang beri alasan bahawa perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat supaya ada yang akan menjaga apabila diri sudah tua. Saya beri contoh terdekat, nenek saya sendiri. Ada anak lelaki tetapi hampeh belaka. Anak perempuan yang lebih prihatin. Tapi kudrat seorang anak perempuan pastinya terbatas. Lantas siapa yang menjaga nenek dan atuk? Allah penjaga mereka. Allah ada meskipun kamu berseorangan. Yakinlah.


Sejujurnya kita punya banyak kerja dari hanya mahu memikirkan mengenai seorang lelaki...


sumber: copy paste..

~cinta ALLAH~

Ya Allah Engkau kenalkan bahawa Engkau adalah Tuhan
Aku bangga, Ya Allah
Engkau adalah Tuhanku
Aku sembah Engkau selalu tidak jemu-jemu
Janganlah masukkan ke dalam hatiku
Jemu menyembahMU
Ya AllahAku redha Engkau adalah Tuhanku
Jangan Engkau tukar redhaku selainMU
Aku harap Engkau juga redha denganku
Redha meredhailah kita berdua hingga bertemu
Ya Allah aku berlindung dengan Engkau
Aku jadikan Tuhan selainMU
Engkau sudah cukup bagiku sebagai Tuhan
Memiliki Engkau aku rasa bahagia
Jangan Engkau jadikan aku
Memiliki selainMU
Tuhan, kerana kelemahanku
Aku tidak dapat lagi mencintaiMU
Tapi, tidak benci
Walaupun begitu jangan pula
Engkau tidak mencintai aku
Aku cuba mencintaiMU Tuhan
Tapi belum menjadi kenyataan lagi
Dengan rahmatMU Tuhan
Anugerahkanlah rasa cintaku kepadaMU
Dan juga cintaMU kepadaku
Ku harap kita cinta mencintai
Kita berdua cinta mencintai biarlah kekal abadi
Wahai TUHAN..
sumber: jpmuitm